Awal hidup Bruce Springsteen

Bruce Frederick Joseph Springsteen dilahirkan di Pusat Perubatan Monmouth di Long Branch, New Jersey pada 23 September 1949. [1] Beliau anak sulung daripada tiga adik-beradik yang semuanya dibesarkan di South Street, Freehold, New Jersey. Bapanya Douglas Frederick "Dutch" Springsteen (1924-1998) pernah bekerja sebagai pemandu bas namun kemudiannya mengalami masalah kesihatan mental yang memburuk,[2] maka ibunya Adele Ann (née Zerilli) sendiri menjadi pencari nafkah utama dalam keluarga sebagai setiausaha undang-undang di kejiranan Bay Ridge, Brooklyn.[3] Keluarga sebelah bapanya keturunan penduduk jajahan Belanda Baru tahun 1600-an,[4][sumber lebih baik diperlukan] datuk sebelah ibunya anak jati Vico Equense[5] yang berhijrah ke Amerika Syarikat semasa dewasanya lalu memulakan kehidupan baru sebagai seorang peguam berjaya.[6]

Beliau dibesarkan dalam masyarakat anutan Katolik. Beliau merasa tidak senang dengan persekitaran pendidikannya di St. Rose of Lima Catholic Freehold sehingga seringkali berperwatakan memberontak, namun ia tetap mempengaruhi gaya muziknya yang adakala meiru gita-gita puja Katolik Ireland. [7] Springsteen sering mengikuti persembahan Frank Sinatra di radio. Bahkan, beliau mula berminat menjadi seorang pemuzik setelah menyaksikan persembahan langsung Elvis Presley di The Ed Sullivan Show pada tahun 1956 dan 1957.

Beliau melanjutkan pengajian tingginya di Kolej Ocean County namun berhenti beberapa lama kemudian. [7] Beliau pernah dikerahkan Tentera Darat Amerika Syarikat semasa meletusnya Perang Vietnam ketika berusia 19 tahun, namun beliau dilepaskan kerana gagalnya dalam ujian fizikal lagi-lagi dengan keadaannya yang mengalami konkusi dua tahun dahulu sehingga menjejaskan perwatakannya.